Aku rasa dah lama kerajaan menguar-uarkan supaya rakyat Malaysia rajin membaca. Menurut sumber Utusan Malaysia, purata Rakyat Malaysia membaca adalah dua mukasurat setahun. Aku tak tahu sama ada statistik ini benar atau tidak, tapi inilah yang dilaporkan.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, budaya membaca ini memerlukan sikap dan motivasi yang kuat. Lebih-lebih lagi jika buku yang hendak dibaca itu sangat tebal. Akan tetapi, soal sikap bukanlah satu-satunya punca permasalahan ini dan aku tak mahu ulas soal sikap, tetapi aku mahu ulas tentang punca lain, iaitu akses kepada ilmu dan buku.
Setiap kali aku ke kedai-kedai buku utama, perkara pertama yang akan aku buat sebelum membelek-belek sesebuah buku itu adalah selak belakang buku dan tengok tanda harga. Memang, harga buku merupakan salah satu halangan akses kepada ilmu. Ya, memang pada zaman teknologi maklumat ini, segala jenis ilmu dihujung jari, akan tetapi, buku merupakan satu sumber ilmu yang sangat reliable dan berautoriti, tidak seperti ilmu di internet yang mampu dimanipulasi oleh anon.
Harga-harga buku di Malaysia kebanyakannya dipengaruhi oleh kadar mata wang memandangkan kebanyakkan buku merupakan buku import. Tidak hairanlah harga buku-buku tersebut mencecah ratusan Ringgit. Akan tetapi, yang aku hairan adalah buku-buku keluaran tempatan yang mahal. Ya, mungkin itu hak penulis dan penerbit untuk meletakkan harga sebegitu kerana jika penulis itu merupakan seorang yang dikenali, sudah pasti ada sahaja yang akan membeli buku-buku tersebut.
Aku nyatakan perihal buku-buku ilmiah. Buku-buku seperti novel, komik dan sebagainya tu persetankan. Memang lah murah. Buku ilmiah import sudah mahal, buku ilmiah tempatan juga mahal, jadi, akses kepada ilmu dan buku sudah menjadi satu privilege, bukan lagi satu hak.
Aku kagum mendengar cerita rakanku yang melawat India. Dia jumpa banyak buku-buku ilmiah yang murah. Hal ini kerana mereka tidaklah terlalu mementingkan kosmetik buku, tetapi isinya. Akses kepada buku oleh penduduk di sana menjadi lebih mudah. Tidak hairanlah India ramai melahirkan cendekiawan yang bijak pandai.
Jadi, aku cadangkan agar pihak kerajaan mengkaji harga-harga buku dipasaran, dan jika perlu, menyediakan subsidi buku supaya akses kepada buku dan ilmu menjadi satu hak, bukannya satu keistimewaan (kepada si kaya).
No comments:
Post a Comment